Penglibatan wanita Malaysia dalam penguasaan kepimpinan masih ketinggalan berbanding lelaki. Berdasarkan Indeks Jurang Gender Malaysia (MGGI) 2022 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, skor pariti wanita dalam sub-indeks penguasaan politik adalah terendah berbanding sub-indeks lain iaitu hanya 0.102.
Walaupun wanita menunjukkan pencapaian pendidikan lebih baik berbanding lelaki dengan skor 1.067, perkara ini tidak diterjemahkan dalam pencapaian kepimpinan dan ekonomi. Kadar penyertaan tenaga buruh wanita juga lebih rendah dengan hanya 55.8% berbanding lelaki pada 81.9%.
Menyedari kepentingan penglibatan wanita dalam kepimpinan, YAB Perdana Menteri telah mengumumkan inisiatif kewangan sebanyak RM5 juta bagi memperkasa kepimpinan wanita melalui bimbingan tokoh wanita berjaya sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa pada 8 Mac 2024.
Menyambut baik pengumuman tersebut, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah memperkenalkan Program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS).
Melalui program ini, tokoh wanita atau wanita yang telah berjaya akan diberikan geran peruntukan untuk menjalankan program pembangunan kepimpinan wanita dalam pelbagai bidang.